Inhalan dikenali juga sebagai bahan hiduan atau sedutan adalah bahan mudah meruap (volatile) yang dihidu atau disedut untuk menimbulkan kesan psikoaktif atau merangsangkan perubahan minda. Umumnya, inhalan boleh dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu:
1. Pelarut Mudah Meruap
Merupakan cecair yang akan meruap pada suhu bilik. Pelarut ini didapati dalam kebanyakan produk-produk yang biasa digunakan di rumah atau untuk tujuan penggunaan perubatan dan industri.
Produk-produk tersebut termasuklah cat dan penipis/pelarut cat, bahan pelindung fabrik, penanggal gris, bahan pengilat, minyak gas, minyak petrol, gam dan pelekat, cecair pemadam dan dakwat pen.
2. Bahan gas
Merupakan bahan yang banyak digunakan dalam perubatan seperti eter, klorofom, haloten dan nitrous oksida.
Produk kegunaan di rumah yang mengandungi gas termasuklah pemetik api yang berisikan gas butana, tong gas propana dan gas peti sejuk iaitu freon. Penyembur aerosol pula biasanya mengandungi kedua-dua bahan pelarut dan gas.
Antara penyembur aerosol yang mudah didapati di rumah adalah cat penyembur, semburan pewangi, penyembur rambut dan penyembur pelindung fabrik.
3. Bahan Nitrit
Merupakan sejenis bahan sedutan yang sering digunakan sebagai pemangkin seks dan mudah diperolehi di kelab-kelab malam. Antara bahan nitrit yang biasa digunakan adalah sikloheksil nitrit, amil nitrit dan butil nitrit yang terdapat dalam sebahagian jenama penyegar udara.
Nama lain yang biasa dikenali oleh penagih ialah Climax, Rush, Locker Room dan Popper. Inhalan berbentuk bahan mudah meruap dan bahan gas lebih digemari oleh golongan awal remaja, walau pun terdapat juga golongan dewasa yang menggunakannya. Orang dewasa biasanya terdedah kepada bahan sedutan melalui pekerjaan mereka, manakala golongan remaja yang lebih berumur biasanya memperolehi dan terdedah kepada bahan nitrit di kelab-kelab malam.
No comments:
Post a Comment